Wednesday, September 8, 2010

Kerdipan indah pada waktu malam…

SAHABAT… Bagaikan kerdipan bintang-bintang pada waktu malam yang menyinari kekelaman hidup. Setiap kerdipannya membawa seribu makna yang tidak dapat ditafsir secara tersurat. Namun, ketulusannya dapat dirasai dalam kalbu. Rupa-rupanya detik-detik bersama sahabat-sahabat adalah begitu indah, seindah bintang-bintang yang menari di langit. Jika setiap sahabat mewakili sebutir bintang, bayangkan betapa khusyuknya aku memandang ke langit, menatapi keindahan beribu-ribu bintang. Detik-detik bersama sahabat mungkin tidak akan berpanjangan, ada ketikanya aku terpaksa mengucapkan “Selamat tinggal”. Namun, aku percaya, bintang-bintang di langit masih berkelipan walaupun aku tidak dapat melihatnya pada waktu siang. Saat-saat yang paling menggembirakan adalah apabila kita dapat berhubung kembali walaupun kita telah berpisah sekian lama dan pertemuan semula seakan-akan mustahil - Ya, itulah masa yang membuatkan aku lebih menghargai setiap persahabatan. Aku baru menyedari, rupa-rupanya aku akan lebih menghargai setelah pernah kehilangannya. Andai kata hari ini aku kehilangan ingatanku, ku harap, memori indah kita bersama tidak akan lupus ditelan zaman… akan terpahat di sanubariku buat selama-lamanya. Andai kata dirimu tidak seperti dirimu yang dulu, ku harap saat-saat indah yang pernah dicipta oleh kita akan kekal dan tidak berubah bersamamu. Jika dirimu sedang membaca nukilan ini, terima kasih aku ucapkan kerana membesar bersamaku mengukir kenangan-kenangan abadi dan menjadi sebahagian daripada diari hidupku. Sekiranya matamu menitiskan manik-manik jernih ketika membaca nukilanku, terima kasih kerana telah membina persahabatan yang begitu suci dan erat bersamaku sehingga dapat meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap dirimu. Terima kasih sahabatku! (“,)

No comments:

Post a Comment